Quick Notice

Hak cipta tidak terpelihara. Anda layak untuk meng'copy' dan meng'comment' sebarang 'post' kami. Powered by Blogger.

Menjauhi 'ISRAELIYAT MODEN'

Monday, August 18, 2008 | @mirfathirah

Gambar hiasan

Akhir-akhir ini, kita kerap kali di sajikan dengan pelbagai penemuan-penemuan yang mendakwa tertulisnya kalimah-kalimah Allah pada sesuatu objek. Maka dengan girangnya, kita pun turut berkempen ke merata tempat untuk menunjukkan kehebatan dan kekuasaan Allah melalui objek atau gambar-gambar tersebut. Kesannya, objek atau gambar tersebut akan dianggap ‘suci’ dan lahirlah pemujaan terhadap objek tersebut sedangkan Islam amat menegah perbuatan pemujaan sesama makhluk.

Hasilnya, musuh-musuh Islam telah berjaya menjauhkan kita daripada mengkaji dan mendalami penemuan dan rahsia-rahsia ilmu yang terkandung dalam Al-Quran sebagai mukjizat yang terakhir, disebabkan kita lebih suka dimabukkan oleh penemuan-penemuan ‘ajaib’ yang sebenarnya dapat diterangkan dengan mudah oleh ilmu sains. Kita seolah-olah dijadikan seperti anak-anak kecil yang seronok ditipu dan dikhayalkan mengikut imaginasi dihadapan seorang ahli silap mata yang menggunakan tipu daya untuk menimbulkan rasa hairan dan aneh. Lebih tinggi rasa hairan dan aneh tersebut, lebih tinggilah kita diperbodohkan oleh ahli silap mata.

Agenda terancang musuh-musuh Islam ialah ingin mengekalkan umat Islam dalam keadaan jumud, tahyul dan khurafat, sedangkan mereka memonopoli ilmu sains untuk membolehkan mereka menguasai dunia dan umat Islam. Sebenarnya, Allah menetapkan kita hidup dalam dunia yang tidak mempunyai tempat untuk perkara karut dan bohong. Setiap satunya mestilah melalui pemerhatian dan ujikaji, dan sekiranya ujikaji tidak mampu dibuat, pemerhatian akan diteruskan sehingga hipotesis atau andaian ditetapkan.

Namun begitu, sekiranya ada suatu kajian yang berkaitan objek atau jasad didalam alam semesta yang tidak dapat difahami oleh akal, kita seharusnya tidak boleh membenarkan rasa tahyul dan khurafat memenuhi ruang pemikiran kita. Ini kerana ilmu pengetahuan berkaitan hal tersebut tidak akan disingkapkan tabirnya kecuali kita sendiri berusaha untuk mengkajinya. Adalah mustahil sekiranya Allah menggesa kita merenung ciptaanNya, dan dalam masa yang sama menghalang kita untuk mengetahui kebesaranNya. Bukankah banyak perkara yang dahulunya tidak dapat difahami oleh akal, misalnya gunung-ganang yang bergerak seperti kapal di lautan tetapi telah dapat difahami sejajar dengan perkembangan ilmu sains dalam bidang geologi.

Kita lebih suka mengambil jalan mudah yang tidak bersifat ilmiah dan saintifik untuk memahami kekuasaan Allah dalam alam semesta, sedangkan Al-Quran sendiri menekankan umat manusia menggunakan akal fikiran secara saintifik dalam memahami penciptaan alam semesta didalam mengenal Allah. Didalam Al-Quran yang selalu kita baca “Tidakkah engkau lihat...” merupakan suatu ajakan kepada manusia untuk melakukan pengamatan mendalam terhadap alam semesta. Golongan yang dikenali sebagai ‘ulul albab’ didalam Al-Quran ialah manusia yang selalu berzikir kepada Allah, serta selalu memikirkan dan merenungkan ciptaan Allah baik yang ada di langit mahupun yang ada dibumi, sebagaimana disebut dalam surah Ali-Imran ayat 190 dan 191.

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal;

(Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.

Wahai Tuhan kami! sebenarnya sesiapa Yang Engkau masukkan ke Dalam neraka maka Sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang Yang zalim tidak akan beroleh seorang Penolong pun;

Golongan ‘ulul albab’ dalam konteks sekarang dapat juga diberikan kepada para ahli sains Islam yang beriman kepada Allah melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki terhadap alam semesta sebagaimana berimannya para ahli sihir ketika zaman Nabi Musa kerana meyakini melalui ilmu yang dimiliki oleh mereka bahawa mukjizat yang dibawa oleh Nabi Musa benar-benar merupakan sesuatu yang datang dari Allah.

Dipengaruhi rasa tahyul dan khurafat dalam bentuk “israiliyat moden”, serta disebabkan kedangkalan kita terhadap ilmu pengetahuan, maka ramai yang tersalah anggap dalam memahami ayat Al-Quran.

“ Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami disegenap penjuru dan pada diri mereka sendiri......” (Fusshilat: 53).

Dalam ayat tersebut, kalimah ‘tanda-tanda” bukanlah merujuk kepada kalimah tulisan Allah pada ikan, batu, buah, pokok dan sebagainya tetapi merujuk kepada pengetahuan dan kebesaran Allah yang dapat difahami dan diterima oleh akal dan ilmu pengetahuan manusia. Sekiranya kalimah tulisan Allah yang dimaksudkan dalam ayat diatas, bagaimana kita ingin menjelaskan bentuk-bentuk salib dan simbol ajaran Hindu dan Buddha yang terbentuk dalam unsur-unsur biodiversiti disekeliling kita?

Sifat tahyul dan khurafat pada sesuatu fenomena, benda atau objek yang luar biasa menyebabkan kita menjadi malas untuk memikirkan kehebatan Allah pada benda-benda yang dirasakan biasa sahaja menurut pandangan kita. Tiada siapa yang kagum kepada air liur manusia, tetapi menurut ilmu sains, air liur mengandungi DNA yang mempunyai maklumat yang cukup kompleks, dimana sekiranya kita menulis semua maklumat yang terkandung dalam DNA tersebut, kita akan dapat menghasilkan sejumlah buku 900 jilid dengan setiap buku mempunyai 500 helai mukasurat yang memerlukan ruang seluas padang bolasepak untuk menyimpannya. Subhananallah!, semua maklumat ini telah dipadatkan oleh Allah ke dalam sebuah molekul yang sangat halus didalam air liur hinggakan kita tidak dapat melihatnya dengan mata kasar.

Di saat para ahli sains mulhid bingung kerana penemuan mereka membuktikan kebenaran Al-Quran dikala ingin mencari kelemahan Islam, kita pula mengambil langkah ke belakang. Sebenarnya ramai saintis barat yang meyakini kebenaran saintifik Al-Quran, tetapi rasa ego yang diwarisi dari Ahli Kitab menyebabkan hidayah Allah terhalang dari masuk ke hati mereka. Sebagai salah satu jalan memartabatkan Islam, sebagai pencinta ilmu atau kelompok Rabithah ’Ilmiyah Tsaqafiyah, para daie perlulah mempersiapkan diri dengan pengetahuan sains untuk berhadapan dengan masyarakat celik sains, sebagaimana Allah memperlengkapkan Musa dengan ilmu pada zaman dimana sihir hanya dapat dipatahkan melalui mukjizat berbentuk sihir juga.

*petikan artikel dari Al-Akhbar April 2008-Buletin Rasmi MATRI (Oleh : Cikgu Abdul Rahman Bin Daud)

Kunjungi laman web MATRI: http://www.matri.edu.my/



Tags: | 0 Komens

0 Komens:

Try us on Wibiya!