Quick Notice

Hak cipta tidak terpelihara. Anda layak untuk meng'copy' dan meng'comment' sebarang 'post' kami. Powered by Blogger.

Isu Facebook

Tuesday, January 5, 2010 | @mirfathirah

Pendahuluan: Dimana kedudukan kita apabila menghukum sesuatu yang melibatkan dua perkara yang berlainan, bahkan berjauhan dari landasan yang sebenar?? sedangkan jalan yang berada dalam hidup kita ada dua persimpangan sahaja.

Adakah dengan kita berada di tengah-tengah? seperti orang bermusafir yang tidak sampai pada ke destinasi yang di kehendaki

Atau menggunakan kenderaan yang lain yang dapat membawa kita sampai ke destinasi dengan selamat...dengan laluan alternatif yang lain..Sama-sama menilai huraian di bawah...

Ramai tanya saya fasal facebook. Ramai. Mereka kata, Facebook ini adalah penyumbang terbesar kepada yahudi, kita punya maklumat dan sebagainya ada pada CIA dan Facebook ini membantu pembunuhan saudara kita di Palestin.

Mungkin ada yang menyangka, saya tidak bersuara perihal hal ini kerana saya mempunyai akaun Facebook, jadi saya takut dengan kebenaran bahawa Facebook adalah haram, wajib diboikot dan sebagainya. Em.. sesiapa dah mula rasa demikian, boleh padam siap-siap perasaan itu.

Saya hakikatnya, bersedia untuk mendelete akaun facebook saya bila-bila masa sahaja jika benar ia terang dan jelas menyumbang kepada pembunuhan saudara kita di Palestin. Senyap saya adalah kerana saya kurang maklumat dan ilmu untuk membahaskan perkara ini.

Tetapi kini, nampaknya dua senior saya dalam alam maya ini sudah bersuara – Ustaz Hasrizal dan Ustaz Zaharuddin – berkenaan hal ini. Maka kali ini saya akan membicarakan perihal Facebook, dengan apa yang sebenarnya selama ini saya pendam.

Silakan membacanya.

Kita Mulakan Dengan Hukum

Apa hukum pakai facebook? Mudah cerita, apa hukum berurusan dengan orang yahudi? Hukumnya yang asal adalah dibenarkan.

Ada hadith meriwayatkan seperti berikut:

“Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW” ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841)

Allah SWT pula ada berfirman:

“Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal pula bagi mereka. (Dan dihalalkan mengawini) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar maskawin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik..” ( Al-Maidah : 5 )

Kita lihat di sini, perkahwinan dan jual beli itu dibenarkan antara kita dengan golongan ahli kitab, yakni mereka yang beriman dengan kitab-kitab samawi yang diturunkan Allah SWT sebelum Al-Quran seperti Taurat dan Injil.

Perbincangan ini tidak cukup sekadar menonjolkan dua ayat ini. Saya harap anda bergerak membaca artikel Ustaz Zaharuddin sendiri di link berikut:


http://www.zaharuddin.net/fiqh-kewangan-kerjaya/hukum-mcdonald-kfc-maxis-syarikat-yahudi.html

Kesimpulannya, adalah dibenarkan untuk umat Islam membeli, menjual, mengguna pakai produk ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi, selagi mana ia dalam ruang lingkup yang halal.

Justeru, hukum menggunakan Facebook, asalnya adalah halal.

Yang Menjadikannya Haram 1: Bila ada bukti dan diisytiharkan sendiri

Facebook, hanya akan menjadi haram, adalah apabila sah Mark Zuckerberg(pengasas Facebook) membuat perjanjian hitam putih dengan Israel untuk menghapuskan saudara-saudara kita di Palestin. Masalahnya sekarang, tiada bukti berkenaan hal itu.

Lebih mengecewakan, Majalah Al-Islam yang dikeluarkan September 2009 telah mengeluarkan artikel bertajuk seperti berikut:

“ZUCKERBERG GUNA FACEBOOK UNTUK BUNUH PENDUDUK PALESTIN”

Ini satu deklarasi, tetapi malangnya, di dalam artikel yang bertajuk ‘panas’ itu, tidak disertakan bukti untuk menyokong tajuknya. Yang ada hanyalah kenyataan berikut:


“… Pun begitu sebelum pengharaman oleh dua buah negara tersebut dibuat, wujud desas-desus yang mengaitkan penglibatan laman web tersebut dalam membiayai peperangan di Gaza”

Apa desas-desus? Nama pun desas-desus.

Lainlah jika Facebook mengisytiharkan sumbangannya kepada Yahudi Israel seperti mana Starbuck. Starbuck sendiri mengisytiharkannya, tanpa sebaran khabar angin dan desas-desus. Di situ barulah kita boleh mengharamkan Facebook.

Kalau kamu kata pada saya:

“Ala, mungkin yang Facebook ini mereka tidak isytiharkan. Sembunyi-sembunyi aja ke”

Itu sudah masuk perbincangan lain. Ummat Islam tidak diberatkan untuk menghukum apa yang tidak dilihatnya. Tidak mengapa untuk menyelidik, nak memastikan kehalalan-keharamannya. Contoh, makan di kedai orang bukan Islam, kita nak check bahan dia pakai dan sebagainya, kalau nak pergi check, silakan. Tetapi bila dah check, dan tak jumpa apa-apa yang meragukan, maka janganlah kata: “Entah-entah dia sembunyikan barang itu di tempat lain kut” Terus berprasangka. Ini satu masalah.

Satu statement Ustaz Zaharuddin adalah:

“Jika ada pula yang mengarahkan saya membuat kajian dan mencari bukti-bukti itu sebelum memberi pandangan berkenaan status hukum. Justeru boleh saya katakan, kajian telah dibuat dan kami gagal MENDAPATI sebarang bukti untuk menyokong andaian-andaian pihak yang membuat andaian. Jika dikatakan bukti bertulis tentulah dirahsiakan oleh pihak syarikat facebook dan mereka memberikan sumbangan secara senyap-senyap

Maka jika demikian, Islam tidak memberatkan kita untuk membuat andaian dalam hal seumpama ini. Jika andaian sedemikian masih ingin digunakan, kelak mengakibatkan kesukaran berat (mashaqqah) buat seluruh umat Islam pada banyak perkara dan aktviti lain, kerana larangan dan andaian juga akan terpakai buat semua penjual bukan Islam beragama Hindu, Kristian, Buddha dan lainnya. Penjual-penjual tersebut juga boleh diandaikan menyumbang kepada gerakan melawan Islam secara senyap. Akhirnya, kita terperangkap dengan kekerasan fatwa kita sendiri, hingga bermusuh dengan semua tanpa bukti yang jelas.

Oleh kerana itu, selagi tidak disertakan dan tidak mampu dihadirkan bukti bertulis, selagi itulah hukum adalah HARUS untuk berjual beli dengan penjual atau syarikat milik Yahudi. Jika berjual beli pun dibenarkan, apatah lagi sekadar membuka akaun facebook.

Cuma mungkin keharusan berurusan dengan barangan Yahudi, boleh menjadi makruh atau syuhbat diketika wujudnya peperangan dan serangan ke atas umat Islam. Ini memerlukan penelitian ‘case by case’.”

Jadi bagaimana sekarang? Anda sila buat penilaian.

Yang Membuatkannya Haram 2: Diri Anda Sendiri

Soalan saya mudah kepada diri saya dan anda. Kenapa anda menggunakan Facebook?

Soalan ini menjadi persoalan asas kita sebenarnya.

Facebook boleh menjadi haram, apabila ia melontarkan kita kepada kerosakan dan kehancuran. Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu lontarkan diri kamu ke dalam kerosakan…” Surah Al-Baqarah ayat 195.

Jadi, kalau kita menggunakan Facebook sehingga kita tinggal solat, kita guna Facebook sehingga rosak Aqidah, kita guna Facebook sampai kita tinggal studi, kita guna Facebook sampai satu tahap tak keluar rumah langsung, dan perkara-perkara di sekitar perkara-perkkara yang saya sebutkan ini. Kalau semua ini berlaku, maka haramlah Facebook itu ke atas kita.

Siapa yang menjadikannya haram?

Diri kita sendiri.

Ya, cuba anda lihat Facebook hari ini anda guna bagaimana? Anda membazir masa dengan main pukul-pukul bantal, anda pergi sertai kuiz ramalan itu ramalan ini, kuiz mati bila la, dan sebagainya. Itu tidak dikira lagi dengan main permainan-permainan di dalamnya yang membazir masa, belum lagi kita ungkit perihal hubungan lelaki perempuan yang kita malas jaga dan sebagainya.

Anda guna Facebook itu bagaimana?

Itu soalan saya.

Di sini saya utarakan pula statement Ustaz Hasrizal:

“Berbeza dengan Facebook, rakan-rakan yang lebih ’sekepala’ dan ’seusia’ bertambah dari semasa ke semasa melalui Facebook dan ia sangat berkesan dalam usaha ‘menjejak kasih’ teman-teman lama dari seluruh dunia.


Keadaan ini sedikit demi sedikit berubah apabila semakin ramai pengguna internet Malaysia menyertai Facebook.



Saya tidak pasti apakah yang patut ditunding kesalahan. Apakah kerana kelompok yang membanjiri Facebook kebelakangan ini adalah remaja bermentaliti kebudak-budakan, atau mereka bekas pengguna Friendster, atau mereka mewakili suatu ngomelan tentang budaya kurang sihat di Malaysia yang disebut sebagai ‘First Class Facility with the Third Class Mentality’. Facebook mula comot dengan pelbagai aplikasi seperti kuiz, permainan dan pelbagai fungsi yang menghilangkan hemah Facebook selama ini.”

Apa kata, sebelum anda kata Facebook itu menyumbang kepada pembunuhan di Palestin(yang anda tiada bukti berkenaannya), anda tengok dulu apakah anda melakukan kerosakan pada diri anda dengan Facebook?

Facebook dan CIA

Dalam hal ini, jangan anda cepat melatah. Kaitan Facebook dengan CIA tidak meletakkan ia sesuatu yang haram. Memandangkan di dalam perjanjian terma dan syarat yang ada di dalam Facebook, mereka memang menyatakan bahawa mereka mempunyai hak atas perkara itu.

Mereka memang dah deklarasikan bahawa mereka berhak menyebar maklumat kita kepada mana-mana syarikat, mana-mana agen sama ada CIA, Mosad, FBI ataupun SB mana-mana negara.

Dan untuk pengetahuan semua, sebaik sahaja anda memasuki dunia internet, tiada apa yang dinamakan – rahsia antara kita-kita –

Sebaik anda mendaftar ke dalam YahooMail, Gmail, atau mana-mana laman web sosial seperti Friendster, Facebook, Tageed, Hi5 dan sebagainya, anda hakikatnya telah mendedahkan maklumat anda kepada semua.

Tidak perlu break code. Kalau CIA hendak mencari anda, mereka hanya perlu menulis nama anda di google, dan mereka akan berjumpa. Dari situ, baru mereka akan teruskan penyiasatan mendalam, memecahkan kod e-mail anda, dan menyemak profil anda.

Jadi, kalau kaitan Facebook dengan CIA menyebabkan Facebook haram, maka adalah haram menggunakan internet sepenuhnya.

Bagaimana?

Saya dan Facebook

Saya menggunakan Facebook, hanya kerana ia aliran terkini masyarakat. Tempat berkumpul ramai orang. Jadi, kerja saya, selain menulis wall yang bermanfaat, adalah menyebarkan artikel-artikel saya seluas mungkin.

Saya juga menggunakan sistem foto di dalam Facebook untuk mengupload semua gambar-gambar saya agar boleh diuploadkan pula ke website Langit Ilahi, memandangkan sistem upload terus dari komputer ke Langit Ilahi punya masalah kebelakangan ini.

Selain Tiga perkara itu – Wall, upload, sebar artikel – Facebook hanya saya gunakan untuk berhubungan dengan rakan-rakan. Habis cerita.

Saya tidak main apa-apa kuiz, saya tidak bazirkan masa saya dengan apa-apa aplikasi di dalamnya, saya juga tidak mempertaruhkan aqidah saya dengan meramal itu dan meramal ini. Saya gunakan Facebook, setakat mana saya rasa perlu saya gunakan ia.

Pada saya, Facebook adalah alat, untuk saya mempergunakannya, dan bukanlah untuk Facebook mempergunakan saya.

Itu saya.

Kalau anda tidak puas hati dengan kenyataan saya, anda boleh tanya kepada 2020 orang friends saya – angka friends terkini apabila saya menulis artikel ini.

Penutup: Saya tidak akan berkata lebih dari ilmu saya

Ini satu perkara yang pelawat Langit Ilahi perlu ambil perhatian. Saya Hilal Asyraf, bukannya orang yang dah lama makan garam macam Ustaz Hasrizal dan Ustaz Zaharuddin. Saya juga belum habis studi. Ustaz Hasrizal dan Ustaz Zaharuddin dua-duanya belajar di Jordan suatu masa dahulu. Saya baru sahaja meniti permulaan perjalanan hidup mereka.

Jadi, saya tidak suka anda menganggap Langit Ilahi adalah penamat kepada sesuatu pendapat. Saya mungkin betul, saya mungkin salah. Saya tidak akan berkata lebih dari ilmu saya. Sebab itu saya tidak mengupas perihal isu semasa, kerana ada antaranya luar dari ilmu saya. Ada pula sesuatu perkara itu, perlu saya kaji semula dan buka kitab-kitab semula.

Bukan semua perkara, boleh saya terus lancarkan atas lidah, atas website. Ini amanah saya sebagai manusia yang hendak mengajak dirinya dan manusia lain kembali kepada Allah SWT. Saya tidak akan mereka-reka perkara palsu semata-mata hendak menarik pelawat datang ke website saya. Biarlah website saya seorang sahaja pendatangnya, asalkan saya tidak berkata sesuatu yang bukan saya ada kebenarannya.

Saya senang kalau perihal Facebook ini, anda kembali merujuk kepada Ustaz Hasrizal dan Ustaz Zaharuddin. Link keduanya adalah seperti berikut:

1. http://saifulislam.com/?p=6714

2. http://www.zaharuddin.net/bahasa-articles/facebook-yahudi-status-hukum.html

Sekian.

By: Hilal Asyraf
Date: 05/01/2010 18/01/1431
For more information: Visit Here

Tags: | 0 Komens

0 Komens:

Try us on Wibiya!