Mereka Tidak Lagi Bersama Kita
Wednesday, January 13, 2010 | @mirfathirah
Fenomena tercicir dari rombongan dakwah bukanlah perkara luar biasa bahkan terdapat banyak catatan mengenainya dalam sejarah tarbiyyah harakiyyah. Kerana itulah Hassan Al Banna meletakkan Tsabat sebagai salah satu rukun bai’ah.
Ana sendiri walaupun masih terlalu muda dalam umur dakwahtetapi telah beberapa kali menyaksikan gejala ini. Ternyata punca-puncanya adalah seperti yang digambarkan oleh ulamak-ulamak haraki yang hidup dan mati diatas jalan dakwah.
Keteguhan kita diatas jalan ini bukan kerana kita banyak ilmu, berapa ramai ilmuan Islam yang tidak meyertai gerakan dakwah bahkan berada dibarisan hadapan untuk mempertahankan sistem jahiliyyah. Bukan juga kerana kita memiliki kemahiran tertentu, public speaking, menulis, memimpin, kebolehan IT dan sebagainya.
Tetapi keteguhan kita kerana kerendahan hati kita hingga kita sentiasa terikat dengan program-program jemaah. Kita sentiasa dahagakan tarbiyyah, tazkirah, nasihat dan pesanan-pesanan bahkan kritikan untuk kita membina keperibadian Islami sebagaimana yang dicontohkan oleh sahabat-sahabat Rasul.
Syeikh Mutaal jabari dalam satu penyampaiannya menyebut dua perkara sebagai indicator kepada ‘tsabat’ kita diatas jalan dakwah iaitu; Komitment pada program Jemaah dan Saling ziarah menziarahi.
Komitment pada program bukan sekadar mengendalikan program atau hadir tetapi merendahkan diri untuk menerima pesanan dan peringatan. MAZA selalu menyebut “Program berjalan tetapi proses tidak berlaku”.
Ana mengenali seseorang yang pernah bersama kita lalu gugur dipertengahan jalan. Ya, dia seorang yang cukup aktif merancang aktiviti dakwah dan tarbiyyah bahkan secara zahirnya seluruh tenaga dan masanya seolah-olah diwakafkan untuk kerja-kerja Islam. Setiap program yang berjalan, dia adalah penggerak penting dan aktif. Sayangnya 'jiwa'nya terlalu sibuk bekerja sehingga tidak ada masa untuk duduk dan mendengar tazkirah dan peringatan. Kesibukannya menjarakkannya dari proses pembinaan jiwa.
Masa terus berlalu, kesibukannya dengan kerja-kerja Islam bertambah, ditambah dengan urusan keluarga apabila terbinanya ‘baitun dakwah’. Bebanan-bebanan terus bertambah tanpa persediaan hati untuk menerimanya hinggalah ketika kesibukannya menuntut tambahan tenaga tetapi tidak banyak sahabat yang menghulurkan bantuan atau tenaga hingga akhirnya dia merasakan dirinya tidak lagi sesuai untuk bersama kita.
Kisahnya masih panjang tetapi biarlah kita berhenti dan menganalisa babak ini dahulu.
Kita sering menyebut ‘noktah bidayah as sohihah’ secara teori tetapi secara praktikalnya tidak terlaksana dengan baik. Kita perlu ingat pesanan As Syeikh Mustafa Masyhur “Penyimpangan dalam dakwah ini bermula dengan sedikit tetapi lama-kelamaan penyimpangannya semakin besar hingga akhirnya kita berada disatu sudut dan Islam berada di sudut yang lain”.
Kita jangan terpedaya dengan bakat dan kepakaran kita. Ya, memang kerja-kerja Islam berhajatkan bakat dan kepakaran kita. Ada manusia yang lahir dengan bakat yang banyak; dia boleh memimpin, boleh berkomunikasi dengan baik, berkarya bahkan pandai membina hubungan dan banyak lagi. Semua itu adalah bahan mentah yang berharga tetapi hanya bermanfaat untuk Islam apabila diproses. Jika itu adalah kita maka kita ini umpama kuda baka baik dengan segala kekuatan dan semangat tetapi kuda ini perlu ditambat dengan tali Aqidah dan perlu dilatih dengan tarbiyyah yang betul supaya berlari mengikut track yang betul.
Janganlah kebolehan dan kepakaran kita menyibukkan kita hingga kita tidak ada banyak masa untuk duduk dan mendengar dengan penuh kerendahan serta menyediakan lalu mudah dan selesa untuk sahabat-sahabat kita memberi nasihat dan teguran bahkan kebenaran itu kadang-kadang datang dari orang baru yang masih kurang pengalaman. Samada kebenaran itu datang dari kanak-kanak atau orang dewasa, orang baru atau orang lama…nilainya sama sahaja, ianya akan mendekatkan kita pada Allah SWT.
Satu perkara lagi, dengan kebolehan dan kepakaran kita, kadang-kadang kita memberi sumbangan yang banyak kepada jemaah hingga kita merasakan diri kita adalah jemaah dan jemaah adalah kita. Tanpa disedari kita rasa pandangan, buah fikiran dan sebagainya patut dihargai….apabila pandangan kita ditolak atau tidak dihargai maka hati kitapun terluka. Lalu kita tidak lagi selesa untuk duduk dan berbincang dengan sahabat-sahabat atau tidak lagi tsiqah pada kepimpinan.
Jadi sedarlah bahawa Islam akan tumbuh berkembang walaupun tanpa kita, akan sentiasa ada satu to'ifah yang akan bergerak cuma kitalah yang menempel diri dan mengharapkan keredhaan Allah dengan sedikit amal yang kita lakukan....
Oleh itu ana menyeru pada diri ana sendiri dan pada sesiapa sahaja yang ungin kekal diatas jalan ini hingga ke ahir hayat.
Marilah kita sentiasa memperbaharui keimanan, keikhlasan, keberanian, kesabaran dan keteguhan jiwa. Inilah perkara asasi untuk kita istiqamah ketika mengharungi hari-hari dimana jiwa kita kadang-kadang terasa sunyi dan bersendiri, hari-hari dimana kita mengisi ummah sedangkan tidak ada yang ingin bergerak bersama kita, harihari ketika kesibukan dunia menjadikan teman-teman kita berguguran dan berlambat-lambat untuk bangun dan bergerak seiringan.
Dengan semua sifat inilah kita akan merasai kemanisan iman kepada Allah SWT dan kita setia menyerah diri untuk kerja-kerja Islam hingga ke nafas kita yang terakhir.
Sekiranya semua sifat-sifat ini sentiasa menghiasi diri kita dan menyusuli setiap langkah yang kita aturkan maka tentunya kita akan mampu sekeras manapun tentangan yang bakal kita hadapi bahkan kita merasai hembusan bayu keimanan sentiasa membisikkan janji-janji Allah sehingga kita terasa hidayah Allah menyinari jiwa kita dalam setiap kegelapan yang kita harungi.
By: Azmi Bahari
0 Komens:
Post a Comment